Kaedah Kaji Selidik

Bahagian ini menggariskan kaedah kaji selidik yang digunakan dalam Projek Semai.

1.1 Soalan Kaji Selidik

Soalan-soalan kaji selidik Semai telah disediakan dalam bahasa Melayu. Ia melibatkan beberapa langkah penting dalam proses penyediaan soalan kaji selidik, termasuk kaji selidik rintis dan penglibatan pihak berkepentingan dengan pemain industri utama (>70 individu daripada 66 entiti) bagi memastikan kebolehpercayaan dan kesahihan. Pengubahsuaian lanjut telah dibuat berdasarkan maklum balas dari penyiasat-penyiasat daripada kaji selidik rintis sebelum pelaksanaan kaji selidik sebenar.

1.2 Skop dan Kawasan

Kaji selidik Projek Semai merangkumi semua negeri di Malaysia (termasuk kawasan luar bandar dan bandar) serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.

Kaji selidik ini melibatkan tiga subsektor pertanian utama iaitu tanaman makanan, ternakan, dan akuakultur. Ketiga-tiga subsektor utama ini dibahagikan kepada segmen-segmen yang lebih terperinci seperti di Rajah 1.

Rajah 1: Tiga subsektor dan segmen-segmen dalam Projek Semai

sector diagram

Jadual 1: Definisi pekebun kecil

SektorSegmenDefinisi
Tanaman MakananSayur-sayuran< 5 hektar
Buah-buahan< 2 hektar
TernakanAyam< 30,000 ayam
Lembu< 50 lembu
Kambing< 100 kambing
AkuakulturKolam< 1 ekar
Sangkar< 0.25 ekar

Sumber: Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan Malaysia (KPKM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10)

Definisi setiap segmen dalam Projek Semai adalah berdasarkan panduan daripada Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan Malaysia (KPKM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), dengan bantuan pakar-pakar industri bagi memastikan definisi pekebun kecil bagi setiap komoditi adalah yang paling sesuai untuk kaji selidik ini.

1.3 Kerangka Sampel

Projek Semai telah bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkepentingan awam dan swasta daripada entiti peringkat persekutuan dan negeri dalam merangka kaji selidik ini. KPKM telah memberikan panduan dan maklumat mengenai landskap pekebun kecil di Malaysia. Jabatan Pertanian (DOA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), dan Jabatan Perikanan (DOF) menyediakan data berkenaan saiz populasi pekebun kecil dalam setiap subsektor.

Khazanah Research Institute (KRI), pemain industri dan pihak berkepentingan yang berkaitan memberikan panduan dan input tambahan melalui sesi perbincangan meja bulat pada 10 Mei 2022.

Pemilihan sampel kaedah bukan rawak (non-random method) telah digunakan disebabkan ketiadaan senarai lengkap pekebun kecil dalam pelbagai sektor pertanian di Malaysia. Selain itu, cabaran untuk menghubungi pekebun-pekebun kecil di berlainan wilayah dan geografi menyebabkan sampel kaedah secara rawak (random sampling) lebih sukar untuk dilaksanakan dalam tempoh masa yang terhad.

Sampel pekebun kecil diatur menggunakan kaedah berdasarkan pengiraan kuota¹ (quota-based method) untuk tiga subsektor pertanian dalam kaji selidik ini. Convenience sampling² dilakukan untuk mencapai responden yang disasarkan.

Walaupun teknik persampelan bukan rawak (non-random sampling) mempunyai limitasi, pasukan pelaksanaan kaji selidik telah menjalani latihan yang menyeluruh. Pakar tempatan juga telah terlibat untuk mengenal pasti responden yang mengikuti kriteria dan panduan yang terperinci. Selain itu, beberapa sumber digunakan untuk mencari responden berpotensi bagi meningkatkan perwakilan (meliputi pelbagai sektor, lokasi dan lain-lain).

Ianya penting untuk diambil perhatian bahawa sampel kami tidak dipilih secara rawak. Justeru, penemuan Projek Semai tidak boleh digeneralisasikan kepada keseluruhan populasi pekebun kecil di Malaysia.

Walaupun terdapat keterbatasan teknik persampelan bukan rawak, terutamanya dari segi keterwakilan dan potensi berat sebelah, langkah-langkah telah diambil dalam pemilihan sampel. Ini bertujuan untuk memastikan bahawa kami dapat memperoleh informasi yang bermakna dalam analisis sektoral kami dan dapat mengurangkan keterbatasan tersebut.

Catatan 1: Kaedah berdasarkan pengiraan kuota (quota-based sampling) adalah teknik pensampelan bukan rawak yang melibatkan pemilihan sampel dari pelbagai kumpulan sub-populasi berdasarkan saiz kuota yang telah ditetapkan. Walau bagaimanapun, ia tidak melibatkan pemilihan sampel secara rawak dalam kumpulan-kumpulan sub-populasi ini.

Catatan 2: Convenience sampling adalah teknik pensampelan bukan rawak yang melibatkan pemilihan sampel dari populasi sasaran berdasarkan pertimbangan praktikal seperti aksesibiliti, geografi, ketersediaan, dan kerelaan untuk menyertai kajian pada masa tertentu. Sama seperti kaedah berdasarkan pengiraan kuota (quota-based sampling), ia tidak melibatkan pemilihan sampel secara rawak.

1.4 Saiz Sampel Sasaran

Saiz sampel yang disasarkan untuk Projek Semai ialah 2,356 untuk tanaman, 1,436 untuk ternakan, dan 870 untuk akuakultur. Saiz sampel ini dianggarkan berdasarkan maklumat yang dikumpulkan semasa kaji selidik rintis.

Semasa kaji selidik peringkat rintis, kadar respons keseluruhan adalah 50%. Namun, kadar respons untuk sektor ternakan adalah jauh lebih rendah iaitu 25% disebabkan oleh pelbagai cabaran yang dihadapi sewaktu kaji selidik khusus untuk ternakan, termasuk isu kebolehcapaian, logistik dan komunikasi. Cabaran yang dihadapi semasa kaji selidik rintis telah dipertimbangkan dalam penentuan saiz sampel untuk kaji selidik sebenar.

Semasa kaji selidik yang sebenar, Projek Semai menerima 2,100 jawapan untuk tanaman, 816 untuk ternakan dan 702 untuk akuakultur. Kadar respons akhir ialah 89% untuk tanaman, 57% untuk ternakan dan 81% untuk akuakultur. Kadar respons akhir lebih tinggi daripada yang dijangka pada mulanya kerana Pasukan Penyelidikan secara proaktif menghubungi lebih ramai pihak berkepentingan dan terus memperbaiki pendekatan kaji selidik.

Jadual 2: Saiz sampel pekebun kecil yang dikaji selidik

Saiz populasi pekebun kecil di Malaysia¹

Tanaman Makanan : 14,228
Ternakan: 29,551
Akuakultur: 4,139
Jumlah: 47,918

Saiz sampel sasaran, diselaraskan dengan kadar tidak respons

Tanaman Makanan : 2,356
Ternakan:1,436
Akuakultur:870
Jumlah: 4,662

Data akhir²

Tanaman Makanan : 2,100
Ternakan: 816
Akuakultur: 702
Jumlah: 3,618

Margin kesalahan³

Tanaman Makanan : 2.5%
Ternakan: 5.0%
Akuakultur: 2.5%

Kadar respons akhir

Tanaman Makanan : 89%
Ternakan: 57%
Akuakultur: 81%

Catatan 1: Saiz populasi pekebun kecil di Malaysia diperolehi dari Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan Malaysia (KPKM), DOA, DVS dan DOF.

Catatan 2: Sesetengah pekebun kecil terlibat dalam pertanian pelbagai subsektor. Analisis ini mempertimbangkan setiap pekebun kecil yang terlibat dalam pertanian pelbagair bagi setiap subsektor secara berasingan. Oleh itu, pekebun kecil yang sama mungkin dikira berganda dalam saiz sampel tanaman, ternakan, dan akuakultur. Hasilnya, jumlah saiz sampel tanaman, ternakan, dan akuakultur (N=3,618) lebih daripada jumlah pekebun kecil sebenar yang dikaji selidik (N=3,300).

Catatan 3: Mengambil kira kadar respons, margin kesalahan bagi sektor tanaman dan akuakultur ditetapkan pada 2.5%, manakala margin kesalahan yang lebih tinggi, iaitu 5.0%, ditetapkan bagi sektor ternakan.

1.5 Kerja Lapangan Kaji Selidik

Kaji selidik ini telah dijalankan selama lima bulan, dari Oktober 2022 hingga Mac 2023, mengikut urutan Tanaman Makanan, Ternakan, dan Akuakultur. Soalan kaji selidik disediakan dalam bahasa Melayu, dengan versi terjemahan dalam bahasa Inggeris, Mandarin, dan Tamil untuk membantu juruselidik mengatasi halangan bahasa. Semasa temu bual bersemuka, juruselidik tempatan juga telah dilantik untuk membantu penterjemahan dialek serantau, bagi memastikan responden memahami soalan setepat yang mungkin.

1.5.1 Pasukan pelaksanaan kaji selidik

Enam penyelaras wilayah terlibat dalam kerja lapangan kaji selidik. Mereka bertanggungjawab untuk melantik kakitangan lapangan, mengatur sesi latihan untuk juruselidik dan memasukkan data.

  • • AgriData Portal
  • • Owl & Badger Research
  • • Penang Institute
  • • Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
  • • Universiti Putra Malaysia (UPM)
  • • Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

1.5.2 Pemasukan dan pemprosesan data

Proses penyelarasan data diketuai oleh Think City. Ini melibatkan pemeriksaan dan pembersihan data serta penjadualan data asas.

Data ini kemudiannya diproses dan dianalisis oleh pasukan dalaman Khazanah. Analisis ini melibatkan analisis data secara eksploratori untuk memahami ciri-ciri utama, diikuti oleh kajian deskriptif untuk mengenal pasti corak, trend, dan hubungkait dalam data.

1.6 Limitasi Kaji Selidik

Objektif Projek Semai adalah untuk mengesahkan beberapa cabaran yang dihadapi oleh pekebun-pekebun kecil yang terlibat dalam sektor pertanian di Malaysia, termasuk tanaman makanan, ternakan dan akuakultur. Tanaman tuai seperti padi dan kelapa sawit dikecualikan daripada kaji selidik ini.

Projek Semai hanya dapat meliputi beberapa cabaran yang dihadapi oleh pekebun-pekebun kecil di Malaysia disebabkan oleh kompleksiti dan kerumitan sektor ini. Sebagai contoh, kaji selidik ini tidak meliputi secara meluas seperti isu-isu yang berkaitan dengan pengurusan rantaian bekalan atau penyelidikan dan pembangunan, walaupun ianya mungkin relevan dengan cabaran yang dihadapi oleh pekebun kecil.

Perlu diingatkan bahawa hasil yang diperoleh daripada Projek Semai tidak mewakili keseluruhan populasi pekebun kecil di Malaysia, kerana kaedah persampelan mempunyai had-had tertentu. Perancangan dan pelaksanaan kaji selidik Projek Semai terhad kepada ketersediaan data dan rangkaian pekebun kecil dalam kawasan-kawasan yang berbeza.

Selain itu, data yang diperoleh adalah berdasarkan jawapan yang dilaporkan sendiri oleh pekebun-pekebun kecil, mungkin tertakluk kepada kesilapan atau berat sebelah. Operasi pekebun kecil juga mempunyai perbezaan yang luas, dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti saiz dan jenis ladang, pengalaman pertanian, dan usia.

Projek Semai juga tidak membuat sebarang tuntutan sebab faktor-faktor.

Walaupun kaji selidik ini bertujuan untuk memberikan pemahaman kepada Khazanah mengenai potensi pelaburan strategik dalam sektor pertanian, pengguna perlu mentafsirkan dapatan daripada Projek Semai dengan berhati-hati dan tidak memberi kebergantungan sepenuhnya untuk membuat sebarang keputusan dasar atau pelaburan.

Penemuan daripada Projek Semai adalah terhad dan bertujuan untuk memahami cabaran yang dihadapi oleh pekebun kecil dalam subsektor pertanian yang berbeza. Maklumat yang diberikan dalam laman sesawang ini adalah untuk tujuan perkongsian maklumat sahaja. Maklumat ini tidak boleh dipakai oleh mana-mana pihak individu untuk membuat keputusan pelaburan atau untuk sebarang tujuan lain.

© 2023 Khazanah Nasional Berhad 199301020767 (275505-K). All rights reserved.